6 Langkah Bijak Mengatur Pendapatan , Kukuhkan Kewangan Anda Sekarang!

artikel 4

Apakah yang perlu dilakukan setelah mendapat gaji? Adakah anda terus membahagikan duit kepada tujuan tertentu atau tidak merancang sama sekali? Tabiat kewangan yang baik perlulah mengambil kira perancangan masa hadapan dan bukannya dalam jangka masa singkat.

1.  PERANCANGAN BAJET

Perkara pertama harus dilakukan setelah memperoleh gaji adalah merancang terlebih dahulu sebelum mula berbelanja supaya kita akan kekal dalam bajet yang sepatutnya. Hal ini juga dapat mengelakkan kita daripada terlupa ke mana perginya wang yang telah diperuntukkan tersebut. Dengan merancang, anda akan dapat jejaki kewangan anda dan lebih peka dengan perbelanjaan yang dilakukan sekaligus mengelakkan pembelian secara impulsif.

 

2. MENYIMPAN WANG

Menyimpan wang juga adalah perkara yang wajib dilakukan, dan ia mestilah diasingkan daripada awal. Lebih banyak simpanan anda adalah lebih baik. Simpanan tersebut perlulah diasingkan daripada gaji supaya dapat mengurangkan risiko daripada digunakan atau ’didebitkan’ yang akhirnya akan menyebabkan perasaan seakan hilang atau berkurangnya wang gaji anda.

3. MULAKAN PELABURAN

Sering kali kita dengar tentang pelaburan dan adakah ia penting? Jawapannya, benar. Pelaburan juga penting setelah anda mendahulukan perkara-perkara seperti simpanan, bajet sendiri. Antara pelaburan yang cukup terkenal adalah seperti pelaburan emas, unit amanah, hartanah mahupun ASB. Ini merupakan antara inisiatif untuk meningkatkan dan mengembangkan lagi kewangan anda ke peringkat lebih baik, dan kukuh.

4. MOHON DAN AMBIL PERLINDUNGAN

Seterusnya, jangan lupa soal perlindungan. Meskipun ada antara kita yang sememangnya masih muda, sihat dan bertenaga tetapi kita tidak akan tahu kemungkinan akan sakit dan bila perlindungan tersebut akan diperlukan. Oleh itu, cubalah untuk mengutamakan perlindungan mengikut kemampuan dan keperluan kita. Simpanan bagi kecemasan juga adalah penting kerana malang tidak berbau meskipun anda mempunyai perlindungan, simpanan kecemasan boleh digunakan untuk pelbagai hal kecemasan yang lain.

5.  BERKONGSI REZEKI

Berzakat, bersedekah dan menderma juga sebenarnya baik untuk kewangan kita supaya rezeki menjadi lebih berkat. Memberi atau membantu dari segi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan adalah perkara signifikan bagi seluruh kaum di Malaysia. Ia juga akan menjadikan kita lebih bersyukur dengan apa yang dimiliki dan memberikan kita ketenangan. Ingatlah bahawa dalam rezeki kita juga terdapatnya rezeki insan lain.

6. LAKUKAN WASIAT ATAU PEMBAHAGIAN HARTA

Apabila anda sudah pun mempunyai aset kelak, lakukanlah pembahagian harta melalui wasiat ataupun hibah. Ini secara tidak langsung sebenarnya akan memudahkan urusan ahli keluarga bagi pengurusan harta sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini. Harta dan duit yang banyak kita miliki tidak dapat dibawa bersama jika kita tiada lagi tetapi dapatlah kita meninggalkan sesuatu kepada ahli keluarga dan yang tersayang.

ms_MYMalay