Berbelanja Tanpa Sedar? Ini Penjelasan Antara Punca Pembelian Secara Impulsif

juita 2

Billionaire dan pemilik jenama Iphone, Steve Jobs sering dilihat mengenakan pakaian hitam yang membuatkan ramai tertanya-tanya mengapa, sedangkan beliau boleh memilih memperagakan pelbagai jenis baju lain yang menarik audiens ketika memberi penerangan tentang setiap gajet yang dilancarkan.

Tahukah anda bahawa beliau memilih memakai pakaian hitam setiap hari bagi mengurangkan keputusan yang perlu dibuat dalam kehidupan seharian. Oleh itu, beliau akan lebih banyak menggunakan keupayaan mindanya untuk membuat keputusan bagi aspek-aspek lain. Begitulah dalam kehidupan seharian di mana kita juga perlu membuat keputusan pada setiap hari, bermula dari bangun tidur, memilih pakaian untuk ke pejabat dan memilih menu untuk bersarapan atau pun tidak bersarapan sama sekali.

Situasi ini secara tidak langsung mempengaruhi cara kita membelanjakan wang secara tidak dirancang (impulsif) terutamanya apabila kita mengalami hari yang sangat sibuk, memenatkan dan penuh tekanan. Sesetengah individu cenderung membayar sesuatu tanpa dapat berfikir dengan wajar lagi kerana minda yang telah terlalu banyak membuat keputusan sejak dari awal.

Kajian juga mendapati kita membuat keputusan terlalu banyak dalam kehidupan seharian meskipun dalam media sosial sama ada mahu menekan butang suka atau tidak. Jadi apabila tiba soal melibatkan keputusan kewangan yang perlu dilakukan, agak sukar untuk kita benar-benar menguasai fikiran pada ketika itu.

Antara langkah mengurangkan anda daripada perlu berfikir banyak mengenai keputusan kewangan adalah dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi dan aplikasi perbankan yang telah sedia ada. Contohnya, menetapkan transaksi automatik bagi potongan bulanan seperti bayaran bil setiap bulan, duit simpanan, memanfaatkan auto debit yang ditawarkan oleh pihak bank.

Hal ini bukan sahaja akan menjimatkan masa. Malah, anda tidak perlu risau soal terlewat bayar dan perlu membuat keputusan berkenaan tarikh melakukan bayaran apabila menggunakan kaedah tersebut. Anda juga akan lebih fokus terhadap melakukan kerja lain dan membuat keputusan untuk menentukan pilihan yang terbaik bagi pelbagai aspek setiap hari termasuklah ketika membuat keputusan untuk membelanjakan wang.

en_USEnglish