Awas! Taktik Penipuan Berleluasa .. Elak Jadi Mangsa Seterusnya

Menjadi kaya atau memperoleh wang yang banyak dengan mudah dalam sekelip mata sememangnya menjadi impian ramai individu pada hari ini. Rentetan itu, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pelaburan dengan pulangan wang yang lumayan dan sasaran mereka adalah golongan pertengahan umur serta golongan berusia.

Ketika mencari pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi, terdapat banyak tawaran dari pelbagai saluran dan iklan yang terpampang di media sosial. Kadangkala, tawaran dan pulangan yang dijanjikan tampak mustahil untuk menjadi kenyataan.

Dewasa ini, penipuan pelaburan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya termasuklah skim cepat kaya, pelaburan forex palsu, dan pelaburan dalam aset yang tidak wujud. Penipu sering kali menggunakan taktik psikologi untuk memanipulasi mangsa, termasuk menggunakan testimoni palsu dan mendesak mangsa untuk membuat keputusan dalam kadar segera.

 

Penipuan terkini melibatkan penipu memaklumkan bahawa anda telah mendapat keuntungan daripada pelaburan awal yang dilakukan dengan tujuan untuk meyakinkan bahawa pelaburan tersebut sah dan boleh dipercayai. Mereka kemudian akan menyarankan anda untuk menambah lagi pelaburan dengan berjanji bahawa pelaburan tersebut tiada risiko dan akan menjana lebih banyak keuntungan.

Disebabkan keterujaan, anda mungkin bersetuju dan melaburkan lebih banyak wang, kemudian individu atau syarikat yang menawarkan janji palsu tersebut tidak dapat lagi dihubungi kerana mereka telah menghilangkan diri dengan wang yang telah dilaburkan. Situasi ini sering berlaku termasuk kepada individu ternama. Ramai yang tersedar bahawa mereka telah kehilangan wang yang disimpan dengan penat lelah dalam sekelip mata.

 

Terdapat juga taktik memperdaya dengan memaklumkan bahawa anda telah memenangi cabutan bertuah atau hadiah berupa wang ringgit. Untuk menebus hadiah tersebut, anda dikehendaki membuat bayaran terlebih dahulu, meskipun anda tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan.

 

Selain itu, terdapat panggilan yang memaklumkan terdapat bungkusan atau barang yang tidak dituntut ataupun terdapat masalah pada bungkusan walaupun anda tidak membeli apa-apa dalam tempoh tersebut. Jangan panik. Jika anda menerima panggilan yang mencurigakan, disarankan untuk bertenang dan jangan terus melakukan seperti yang diminta oleh pihak berkenaan, meskipun mereka meminta anda untuk tidak mematikan talian.

Berhati-hatilah dan sentiasa waspada terhadap tawaran yang terlalu indah untuk menjadi kenyataan. Lakukan penyelidikan yang mendalam dan rujuk kepada pihak berkuasa kewangan sebelum membuat sebarang keputusan termasuklah pelaburan. Melindungi diri daripada penipuan memerlukan kesedaran, kewaspadaan, dan pengetahuan yang mendalam.

 

en_USEnglish